PM Anwar mahu TVET diperluas, pastikan pekerja mahir kuasai teknologi canggih

DUNIA kini berada di puncak era baharu dalam pembinaan dengan pendigitalan, kelestarian dan kerjasama akan menjadi pemacu utama kejayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan teknologi sahaja tidak mencukupi sekiranya keperluan tenaga kerja mahir tidak dipenuhi.

Melalui ucapan erasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu beliau menegaskan komited kerajaan untuk menangani isu berkenaan melalui program latihan yang mantap dan inisiatif peningkatan kemahiran.

Justeru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluas bagi memastikan tenaga kerja Malaysia mampu mengendalikan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

"Inilah cara Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir," katanya melalui teks ucapan dibacakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

BuildXpo 2024 menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada pemain industri terkemuka, dengan 500 reruai dan 200 peserta pameran memenuhi ruang pameran berkeluasan hampir 10,000 meter persegi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Acara anjuran CIDB malaysia, Kementerian Kerja Raya dan Qube Integrated  dijangka menarik 15,000 pengunjung termasuk peneraju industri dan inovator dari seluruh dunia.

Selain pameran, ICW 2024 turut menganjurkan siri persidangan, termasuk Sidang Kemuncak Bandar Masa Depan dan Conference on Conflict Avoidance and Dispute Resolution.

Mengenai program berkenaan, Perdana Menteri berkata tema Envisioning the Future of Construction, bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga merupakan seruan jelas untuk memanfaatkan peluang besar bagi sektor pembinaan Malaysia dan ekonomi yang lebih luas.



Post a Comment

0 Comments