Permohonan kewarganegaraan lalui proses telus, adil ikut undang-undang - Saifuddin

SEBANYAK 17,452 keputusan berkaitan kewarganegaraan sudah dimuktamadkan setakat 1 Oktober lalu, melebihi sasaran 17,000 permohonan yang ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya sentiasa komited untuk memastikan setiap permohonan kewarganegaraan diproses dengan telus, adil dan mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu beliau juga menegaskan, kementerian berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi mereka yang telah mengemukakan dokumen lengkap.

“Permohonan kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.

"Setiap permohonan akan dinilai dengan teliti tanpa mengira keturunan, agama atau pangkat pemohon.

“Bagaimanapun, proses ini perlu dijalankan dengan cermat bagi memastikan pemohon memenuhi semua syarat dan kriteria yang telah ditetapkan,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Sebelumnya,  Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) bertanyakan soalan mengenai langkah KDN memastikan pemohon tidak menunggu lama dalam proses permohonan mereka.

Sementara itu tambah Saifuddin menjelaskan, penilaian setiap permohonan bergantung kepada dokumen sokongan dan fakta kes dikemukakan.

Pertimbangan dibuat berdasarkan syarat dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan seperti pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“Sebagai tambahan, KDN mengeluarkan Prosedur Pengendalian Standard Permohonan Kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada 30 September lalu yang akan memastikan proses permohonan dan tempoh masa pemprosesan selama setahun.

“SOP 19(1) ini akan berkuat kuasa bagi permohonan kewarganegaraan mulai 1 Januari 2025,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments