Pengerusi AIPA: Johari terima tugas secara rasmi

YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT, Tan Sri Johari Abdul secara rasmi telah menerima tugas sebagai Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 bagi 2025.

Simbolik serahan tugas itu disempurnakan Presiden Dewan Rakyat Laos merangkap Presiden AIPA ke-45, Xaysomphone Phomvihane kepada Johari pada Majlis Penutup Perhimpunan Agung AIPA di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane pada Isnin.

Pada majlis sama, Malaysia buat kali pertama memperkenalkan logo AIPA Malaysia 2025 menerusi video promosi.

Logo berkenaan memaparkan corak berbentuk bunga raya dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua 10 negara anggota ASEAN.

Johari ketika bercakap pada Sidang Pleno Pertama AIPA ke-45 pada Ahad menekankan usaha meningkatkan kerjasama dalam infrastruktur, perdagangan, pelancongan dan transformasi digital untuk memacu ketersambungan serantau, memupuk pertumbuhan inklusif, dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk kemajuan sosioekonomi perlu dilaksana.

Usaha sedemikian tegasnya adalah penting, antara lain dalam membina rangkaian pengangkutan, grid tenaga dan infrastruktur digital, yang membentuk tulang belakang ketersambungan serantau.

 

Post a Comment

0 Comments