PM Anwar sampaikan sumbangan baik pulih Rumah PENA

KERAJAAN MADANI terus memberi sokongan kepada usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di laman Facebooknya berkata, bagi tujuan itu beliau telah menyalurkan sumbangan RM50,000 bagi membaik pulih fasiliti Rumah Persatuan Penulis Nasional (PENA).

Menurut beliau, bantuan itu disalurkan melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili beliau bertemu pihak PENA bagi membincangkan usaha-usaha seterusnya.

"Pertemuan itu adalah lanjutan daripada sesi dialog antara beliau bersama tujuh Sasterawan Negara pada bulan Jun lepas, yang telah mencetuskan pelbagai idea bernas terkait usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera di negara ini.

"Insya-Allah, hasil perbincangan dan sumbangan ini dapat membantu PENA terus memainkan peranan penting mengembangkan bakat, memelihara intelektual serta memperkasa suara penulis tempatan.

"Ini juga sebahagian usaha menjadikan Rumah PENA sebagai pusat tumpuan dan pertembungan kegiatan pengkaryaan sastera, bahasa dan kebudayaan,” kata beliau.

Pertemuan Perdana Menteri bersama tujuh Sasterawan Negara pada Jun lalu adalah untuk mendengar sendiri keluhan, teguran dan pandangan, bagi menambah baik usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera negara.

Sesi dialog itu dihadiri sasterawan negara Datuk Dr A Samad Said, Prof Emeritus Muhammad Salleh, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Baharuddin Zainal, Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Dr Siti Zainon lsmail, Datuk Dr Rahman Shaari.


Post a Comment

0 Comments