Keputusan beku kuota penggajian pekerja asing kekal - Saifuddin

KERAJAAN mengekalkan pembekuan kelulusan bagi permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui satu kenyataan pada Isnin berkata, keputusan itu susulan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 Sept lepas didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.

"Maka, dimaklumkan bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Kerajaan akan meneliti dan membuat pertimbangan semula berhubung ketetapan pembukaan kuota penggajian pekerja asing," katanya.

Untuk rekod, Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Dewan Rakyat pada Mac lalu memaklumkan,  jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia setakat 15 Mac adalah seramai 2,171,798 orang.

Kerajaan telah menetapkan bilangan pekerja asing dalam negara tidak boleh melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2025.

Post a Comment

0 Comments