Ahmad Fauwaz dilantik ketuai jawatankuasa pemulihan akidah anak-anak GISBH

KERAJAAN MADANI melantik Ahmad Fauwaz Fadzil untuk mengetuai enam pakar akidah dalam jawatankuasa khas bagi membentuk modul silibus pendidikan pemulihan akidah anak-anak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, pemilihan Ahmad Fauwaz kerana beliau mempunyai kepakaran dalam fiqah perundangan Islam selain terlibat dalam banyak jawatankuasa syariah institusi kewangan dan badan bukan kerajaan di negara ini.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memang ada modul pemulihan akidah termasuk untuk pengikut-pengikut Al-Arqram ... cuma sukatan pelajaran dan modul untuk golongan dewasa.

"Jadi kita belum ada lagi sukatan pelajaran modul khusus untuk anak anak, jadi saya telah amanahkan Ustaz Fauwaz dan lima anggota yang juga pakar akidah untuk membangunkan sukatan pelajaran berkenaan supaya kita dapat memulihkan akidah pengikut dewasa serta anak-anak," katanya.

Mohd Na'im berkata begitu kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmiaan World Quran Symposium 2024 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 1446H/2024M, di Kuala Lumpur pada Khamis.
 
Sebagai rekod, Ahmad Fauwaz 43, merupakan anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Mohd Noor dan kini adalah Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 

Post a Comment

0 Comments