RPS Betau dipilih Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan

RANCANGAN Petempatan Semula (RPS) Betau, Mukim Jelai di sini dipilih sebagai Kampung Angkat Madani

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memilih Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau di Lipis, Pahang sebagai Kampung Angkat Madani.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan RPS tersebut mengambil kira Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau sebagai Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) yang menempatkan murid Orang Asli daripada pra sekolah hingga tingkatan lima daripada 18 kampung sekaligus memacu  pembangunan dari aspek infrastruktur dan pendidikan masyarakat Orang Asli.

“Sebenarnya mesej kita dengan adanya kampung angkat ini adalah untuk memastikan dalam konteks KPM akses pendidikan untuk anak-anak Orang Asli, ini dapat kita pastikan dalam aspek kemenjadian mereka tidak terputus dan tidak terpinggir.

“Saya ingat secara keseluruhanya, kerana kita dalam agenda mengangkat pendidikan dan akses pendidikan Orang Asli dan ini antara kejayaan terbesar kita,”katanya.

Fadhlina berkata begitu melalui sidang akhbar pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KPM Tahun 2024 di SMK RPS Betau pada Ahad.

Setiap kementerian di bawah Kerajaan Madani diarahkan supaya memilih satu kampung angkat di bawah Program Kampung Angkat Madani 2024.

Pelancaran program tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai lalu yang bertujuan untuk menoktahkan masalah kemiskinan, selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.

SMK RPS Betau  dipilih sebagai sekolah K11 pada Mac tahun dan kemudian dijadikan Sekolah Angkat KPM untuk menjadi penanda aras membangunkan semula sekolah-sekolah di pedalaman.

Post a Comment

0 Comments