Kadar literasi kesihatan di kalangan masyarakat rendah - Menteri

MENTERI KESIHATAN menyifatkan kadar literasi kesihatan rendah dalam kalangan masyarakat sebagai wabak Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang membebankan individu, masyarakat dan sistem kesihatan negara.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melalui ucapan di Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 di Seremban pada Ahad berkata, perkara itu perlu dicegah segera kerana boleh menjadi barah dalam masyarakat sekali gus berisiko mewariskan bebanan penyakit kepada generasi akan datang.

"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, satu daripada dua dewasa mempunyai berat badan berlebihan, manakala satu daripada enam dewasa menghidap kencing manis dan empat daripada lima dewasa berusia 18 hingga 29 tahun tidak tahu mereka menghidap kencing manis.

"Kita telah pun melepasi pandemik penyakit berjangkit seperti Covid-19 datang dan pergi khasnya...sejurus lepas tinggalkan pandemik kita berdepan penyakit kronik tiga serangkai ini pula,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menyatakan rasa bimbang kerana isu tersebut turut membabitkan golongan muda yang sepatutnya berada pada fasa paling aktif dan sihat dalam hidup mereka.
 
Justeru tegasnya,  pendekatan negara terhadap kesihatan harus beralih daripada merawat kepada bersifat mencegah, menggalak dan meramal yang melibatkan pengislahan tingkah laku kesihatan.

Pemerkasaan agenda kesihatan juga jelasnya haruslah bermula di barisan hadapan, iaitu peringkat akar umbi setiap masyarakat seluruh negara.

Post a Comment

0 Comments