PARLIMEN dijangka akan melanjutkan tempoh masa perbahasan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan sehingga 10.30 malam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan perkara itu pada sidang media sempena Program Lawatan Kerja ke Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bahru pada Ahad.
"Saya akan memberikan ruang seluas-luasnya untuk perbahasan Belanjawan 2025. Jika sekarang kita tamat pada 8 malam untuk waktu Belanjawan, kita akan panjangkan mungkin hingga 10.30 malam," katanya.
Johari sedang dalam rangka lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha merakyatkan institusi legislatif, pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan legislatif serta inisiatif melahirkan kepimpinan generasi baharu yang cakna akan ilmu ketatanegaraan dan pentadbiran negara.
Beliau dijangka mengadakan lawatan ke DUN Terengganu hari ini dan Dewan Negeri Pahang pada Selasa.
Sementara itu pada sidang media itu Johari menyatakan harapan supaya setiap ahli Parlimen boleh berucap pada perbahasan ini dan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan pada belanjawan yang dibentangkan.
Beliau sementara itu turut berharap peruntukan melibatkan pembangunan agar jauh lebih besar dapat dibentangkan pada Belanjawan 2025..
0 Comments