YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT , Tan Sri Johari Abdul meminta Ketua Setiausaha di semua kementerian agar mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) baharu atau pindaan RUU kepada Parlimen 14 hari lebih awal
Bercakap dalam satu sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Isnin Johari berkata, langkah itu bagi membolehkan ahli Parlimen mempunyai lebih masa untuk meneliti dan mengkaji RUU yang bakal dibahaskan.
Selain itu ia dapat menjimatkan masa perbahasan yang seringkali meleret-leret.
"Saya dah panggil semua ketua setiausaha dan mohon kerjasama mereka. Kalau ada RUU baharu yang akan diperkenalkan di Parlimen atau ada pindaan terhadap satu undang-undang, seelok-eloknya RUU itu sampai awal ke Parlimen.
"Saya menetapkan seeloknya 14 hari supaya dalam tempoh itu kita sempat edar kepada ahli Parlimen. Ahli Parlimen pula dapat baca dan buat kajian sebab ada masa," katanya.
Sementara itu, Johari turut mengingatkan semua ahli Parlimen supaya tidak menjadikan Parlimen sebagai platform untuk mempromosi diri sendiri.
Isu politik di luar tegasnya tidak sekali-kali boleh dibawa masuk ke Parlimen kerana ia merupakan tempat untuk membincangkan permasalahan rakyat.
"Di Parlimen rakyat nak dengar pasal (masalah) mereka bukan kita (ahli politik). Setiap minit kita berada dalam dewan adalah untuk rakyat.
"Jadi elakkan promosi diri sendiri dan bincang hal rakyat yang banyak," katanya dipetik.
0 Comments