Presiden Kesatuan Ulama adakan lawatan rasmi ke Malaysia

PRESIDEN Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi sedang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Beliau yang merupakan adalah tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam dan keilmuan dijadualkan berada di negara ini bermula 4 sehingga 12 Julai ini atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata,  Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyusun pelbagai program sempena lawatan lapan hari Sheikh Ali Al-Qaradaghi

Ia antaranya Global MADANI Forum Anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Konvensyen Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan dan Sesi Pertemuan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sementara itu menurut Mohd Na'im, pihaknya yakin lawatan rasmi berkenaan akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara.

"Sheikh Ali Al-Qaradaghi berperanan besar dalam mengarusperdanakan pemikiran kesederhanaan dalam Islam terutama aspek Maqasid Syariah dan Islam dan Kenegaraan.

"Kehadiran Sheikh Ali Al-Qaradaghi ke Malaysia akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengadaptasi pendekatan Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan pemerintahan," katanya.

Sebagai rekod, Sheikh Ali A-Qaradaghi diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa termasuk institusi kewangan di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments