Kertas dasar S'jaya Pekerja Gig akan dibentangkan ke Kabinet

KERTAS dasar berhubung penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bakal dibentangkan sekali lagi kepada Kabinet bulan ini.

Menteri Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Steven Sim Chee Keong berkata laporan kajian awal mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya itu telah pun dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan lepas bagi mendapatkan input daripada Jemaah Menteri.
 
“Selepas pembentangan (kajian awal) bulan lepas, maka ia kembali di pihak Kesuma untuk kita menambah baik, mengambil kira pandangan daripada input-input Jemaah Menteri pada hari itu.

“Pada bulan ini, mungkin dalam masa satu dua minggu lagi, kita akan membentangkan satu kertas dasar tentang penambahbaikan yang telah dilakukan, bagaimana boleh memberikan perlindungan kepada pekerja sektor gig terutama dalam tiga aspek utama iaitu dari segi pampasan upah yang lebih baik, keduanya dari segi perlindungan keselamatan sosial dan yang ketiga dari segi mekanisme kilanan.

“Ini baru di peringkat awal, maka ia tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan (sekiranya diluluskan di peringkat jemaah menteri nanti) mungkin ia akan melibatkan pindaan atau gubalan undang-undang sedia ada,“ katanya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan Kepada e-Hailing dan p-Hailing Zon Utara di Nibong Tebal.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dapat disegerakan bagi melindungi hak pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta orang terutama dalam kalangan anak muda.

Sementara itu Sim memberitahu,  setakat 21 Jun lepas seramai 648,657 individu telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Daripada jumlah itu, 5,787 adalah pemandu e-hailing dan p-hailing Zon Wilayah Utara yang merupakan pencarum aktif di bawah inisiatif tajaan oleh Grab Malaysia kepada lebih 180,000 rakan pemandu dan penghantar kendalian mereka.


Post a Comment

0 Comments