Ustaz Don 'direhatkan' untuk reda perbalahan natizen di media sosial

MENTERI KOMUNIKASI, Fahmi Fadzil menyifatkan isu seorang pendakwah Ustaz Don Daniyal yang ‘direhatkan’ daripada bersiaran pada program Salam Naitullah terbitan RTM  bukan perkara yang terlalu ganjil.

Fahmi pada sidang akhbar mingguan di kementerian itu pada Rabu berkata,  tindakan itu merupakan keputusan Ketua Pengarah (KP) Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman di mana ada hos yang akan diaktifkan atau direhatkan.

“Saya berpandangan ini adalah keputusan KP dan memang dari masa ke semasa hos bagi apa-apa acara atau program memang ada diaktifkan atau direhatkan.

“Saya tidak lihat ini sebagai suatu perkara terlalu ganjil, mungkin nanti kita akan bincangkan isunya dan cari apakah langkah-langkah berikut,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, berlaku ketegangan di platform media sosial  berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang didakwa diceritakan pendakwah terbabit.

Dalam kenyataan yang dilapor dibuat ketika bersiaran di sebuah stesen radio, Ustaz Don mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.

Biarpun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan, Ustaz Don dilapor bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat pembetulan.

Sementara itu Suhaimi ketika mengesahkan tindakan terhadap Ustaz Don menegaskan, ia bagi meredakan ketegangan dalam platform media sosial membabitkan Ustaz Don selain mengelak pertelagahan netizen berpanjangan.

"Untuk meredakan keadaan, kita rehatkan Ustaz Don buat sementara waktu. Kita kena bersikap adil. Kalau kita dapati dia tidak bersalah, kita tiada masalah untuk kembali bekerjasama," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments