AMK bidas kenyataan Timbalan Presiden PAS

ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan membidas kenyataan seorang pemimpin PAS yang mendakwa "kemenangan Islam" mampu memperbetulkan dasar dan kemungkaran, seperti perjudian.

Ketua penerangannya Muhammad Azha Salahudin merujuk laporan disiarkan portal milik PAS, Harakahdaily  bertajuk 'Dosa terampun dengan sebab kemenangan Islam' berkata, laporan itu yang memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai penuh dengan kecelaruan dan bersifat dangkal.

"Tuan Ibrahim mengatakan premis perjudian wujud kerana kelulusan diberi oleh pemimpin yang berkuasa dengan mendapat kuasa melalui pilihan raya.

"Adakah Tuan Ibrahim terlupa semasa PAS menjadi kerajaan selama 33 bulan di bawah PN, PAS sendiri gagal untuk menghapuskan aktiviti judi dan kedai judi?" Soalnya dalam kenyataan.

Sebagai rekod, laporan yang disiar Harakahdaily pada Selasa itu kini sudah dipadam.

 Tuan Ibrahim antara lain berkata kemenangan Islam dalam pilihan raya akan menyebabkan dosa golongan terdahulu diampunkan seperti dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran.

Memetik sirah kemenangan Rasulullah SAW,  bekas menteri itu berkata keampunan Ilahi disebabkan berlakunya perubahan kepada pentadbiran yang menghapuskan maksiat yang telah dibenarkan oleh pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, Muhammad Azha berkata keadaan lebih teruk semasa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan, apabila cabutan khas judi dinaikkan daripada lapan kepada 22 kali setahun.

"Lebih hina dan jijik lagi, kegagalan PAS untuk menghapuskan judi serta menaikkan cabutan khas judi semasa menjadi kerajaan bukanlah hasil daripada menang pilihan raya.

"Tetapi hasil daripada tebuk atap yang terbentuk daripada satu pakatan dan komplot jahat yang menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya yang turut menggesa pemimpin PAS supaya berhentilah daripada mempergunakan nama Islam sebagai modal politik murahan untuk menipu rakyat.

"Buktikan kehebatan islam itu daripada perbuatan dan bukan hanya daripada penipuan halusinasi," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments