PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.
Beliau melalui satu hantaran di laman Facebooknya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan ketabahan mereka untuk berdepan dugaan itu.
"Mendiang adalah orang Dayak pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan ia pastinya satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.
"Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya," kata perdana menteri.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN).
Mutang menerima rawatan di IJN sejurus tiba dari Azerbaijan pada Isnin lepas, selepas melakukan lawatan kerja ke negara itu bermula 29 April dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.
Mendiang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku.
Berasal dari Lawas, beliau menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang menjadi Speaker Dewan Negara.
Sementara itu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Mutang Tagal.
“Pemergian beliau ketika berkhidmat untuk negara. Semoga keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa yang sukar ini. Salam takziah,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
0 Comments