PM Anwar bidas pemimpin suka maki hamun, merengek

PERDANA MENTERI menempelak sikap segelintir pemimpin lebih memilih politik memaki hamun, merengek dan mencaci berbanding duduk berbincang di meja rundingan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan di Majlis Penyampaian Cek Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED) di Putrajaya semalam menegaskan, sikap ditunjukkan pemimpin terbabit tidak akan menguntungkan masyarakat terutama apabila mereka cuba bermain naratif perkauman.

"Pemimpin-pemimpin boleh bercakap untuk lagakan pimpinan kaum dengan kaum yang lain, yang untung mereka - untuk dapatkan undi tambahan, untuk dapatkan kekayaan, yang susah nanti rakyat.

"Sebab itu saudara, pergaduhan antara kaum hanya menguntungkan kelas atasan dan memiskinkan golongan bawah.

"Harus bangkit dalam kalangan rakyat, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan untuk menyatakan bahawa kita tidak mahu bibit-bibit perkauman, kita mahu semua kaum diangkat diangkat martabat mereka menjadikan Malaysia ini negara gagah, hebat dan berjaya," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha dan cuba menyelesaikan semua masalah namun ia bukan perkara mudah.

"Adakah kita mampu menyelesaikan semua masalah, tidak… adakah kita mampu memuaskan permintaan semua, tidak. Tetapi kita berusaha sebaiknya menyelesaikan kebanyakan masalah.

"Ini kerana kita baru berada di sini kurang setahun setengah dan kita tidak boleh dikatakan mampu menyelesaikan masalah yang kita warisi berdekad lama, untuk diselesaikan dalam sehari atau setahun," katanya.

 Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan khas RM2 juta disalurkan kepada Kolej Tafe yang dibangunkan bekas Presiden MIC, mendiang Tun S Samy Vellu.

Post a Comment

0 Comments