Fahmi bidas keputusan Terengganu tolak Akta Laut Wilayah 2012

MENTERI KOMUNIKASI , Fahmi Fadzil menyifatkan keputusan Kerajaan Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012 sebagai tindakan sinikal dan hipokrit.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Pas dari negeri itu termasuk Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas membantah rang undang-undang tersebut ketika ia dibentang, dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat.

"Saya meneliti semula hansard ataupun penyata rasmi Dewan Rakyat sekitar 18, 19 April 2012 sewaktu Rang Undang-undang Laut Wilayah 2012 dibentang, dibahas dan diluluskan.

"Dalam sesi yang mengambil masa lebih kurang dua, tiga jam terdapat 21 Ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan bagi Akta Laut Wilayah ataupun Rang Undang-undang Laut Wilayah 2012 pada waktu itu.

"Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari Terengganu terutama daripada parti Pas, termasuklah Ahli Parlimen Marang terlibat dalam perbahasan pada waktu itu,” katanya ketika ditemui media di Padang Besar pada Jumaat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui hantaran di Facebooknya pada Khamis dilapor berkata sidang DUN Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012.

Akta tersebut menurutnya  membataskan hak negeri itu menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) daripada garis air surut wilayah Terengganu.

Sementara itu Fahmi menyarankan Ahmad Samsuri supaya  bertanya kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengapa presiden Pas itu tidak menggunakan peluang di Dewan Rakyat melakukan bantahan ketika rang undang-undang tersebut dibentang dan dibahaskan.

"Jangan jadi hipokrit, Menteri Besar Terengganu perlu tanya dengan Ahli Parlimen Marang kenapa waktu rang undang-undang ini dibahaskan, Ahli Parlimen Marang diam seribu bahasa dan kalau sekiranya isu dia adalah mengenai kuasa, kenapa tidak ada satu perkara pun dilakukan dalam tempoh 33 bulan parti Pas terlibat dalam kerajaan di Putrajaya,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments