'Dakwaan kerajaan mahu lulus kasino di Forest City tak benar ' - PM Anwar

 PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menafikan laporan media yang mendakwa kerajaan akan meluluskan kasino berlesen di Forest City, Johor.

Beliau turut menyatakan bahawa laporan media yang memetik sumber, bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu adalah tidak betul.

"Tiada kasino berlesen...tipu...tidak betul," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Madani Muhibah Aidilfitri, di perkarangan Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.

Bloomberg melalui laporan yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa Perdana Menteri bertemu dengan dua hartawan terkemuka minggu lalu.

Laporan itu mendakwa Anwar, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.

Menurut laporan itu, turut berada pada mesyuarat itu ialah Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan bekas Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay.

Sebagai rekod, Anwar sebaik mengambil alih pentadbiran negara pada Disember 2022 membatalkan keputusan kerajaan berkaitan judi sebelum itu.

Beliau mengumumkan mulai Januari 2023, kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan daripada 22 kali setahun hanya kepada lapan kali.


Post a Comment

0 Comments