Kerajaan Pulau Pinang salur sumbangan kepada keluarga mangsa helikopter TLDM

KERAJAAN Pulau Pinang  menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut, Perak, Selasa lepas.

Sumbangan itu diserahkan sendiri Ketua Menteri Ketua Menteri Chow Kon Yeow kepada bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid.

“Kita semua sedih atas kejadian yang mengorbankan 10 orang wira negara lebih-lebih lagi keluarga mangsa. Kita turut memberikan sedikit sumbangan hari ini sebagai tanda prihatin atas tragedi yang menimpa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Pantai Jerejak pada Khamis.

Sementara itu jelasnya, kerajaan negeri sedia berbincang mengenai bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan kepada keluarga Allahyarham.

Beliau turut berharap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM melakukan siasatan sebaik mungkin bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang turut mengorbankan sembilan lagi anggota TLDM.

Terdahulu, Chow meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama ahli keluarga Allahyarham. Turut hadir Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Laut Wilayah 3 Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa.

Ramli sementara itu mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri yang memberikan sumbangan dan kata-kata semangat ketika dirinya amat memerlukan sokongan selepas kehilangan anak dalam tragedi menyayat hati itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut menziarahi keluarga Allahyarham dan meluangkan kira-kira 30 minit bertanyakan khabar dan perkembangan terkini mengenai siasatan tragedi itu.

Beliau menyerahkan sumbangan berupa cek bernilai RM10,000 kepada isteri Allahyarham Sofiyyah Sa’adon daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang selain RM30,000 yang disumbangkan oleh beberapa ahli korporat.

Muhammad Firdaus, 44, Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, antara 10 tentera yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak, Selasa lepas.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sofiyyah, 42, serta seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Post a Comment

0 Comments