AMK bidas kenyataan ahli akademik pro zionis

KENYATAAN seorang ahli akademik Amerika Syarikat, Bruce Gilley yang mendakwa Malaysia sebagai pendokong ‘Holocaust kedua’ adalah melampau dan menyeleweng.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) melalui satu kenyataan pada Khamis berkata, perjuangan Malaysia bagi pembebasan Palestin adalah konsisten seperti yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kenyataan Bruce Gilley di aplikasi X yang menyifatkan Malaysia sebagai pendokong Holocaust juga adalah melampau dan menyeleweng.

"Perjuangan Malaysia selama ini adalah bagi pembebasan Palestin seperti yang dibawa oleh Perdana Menteri di persada dunia," kata sayap pemuda parti KEADILAN itu pada Khamis.

Gilley melalui ceramahnya bertajuk "Adakah Malaysia Menjadi Kuasa Pertengahan Aktif" di UM pada Selasa lalu Gilley memperkecilkan hubungan Malaysia dengan AS.

"Sebuah negara yang pemimpin politiknya menganjurkan Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia, dan sudah tentu tidak akan menjadi rakan atau rakan kongsi AS, ini adalah sebahagian daripada ucaptama saya semalam di KL mengenai dasar luar Malaysia ," katanya dalam catatannya di X yang sudah dipadamkan.

Melalui halaman GoFundMe, Gilley melancarkan kempen mengumpul dana bagi dirinya selepas mendakwa terpaksa meninggalkan Malaysia selepas mengkritik pendirian Malaysia terhadap Israel ketika ucaptama di Universiti Malaya (UM).

Tindakan universiti itu membatalkan jawatan profesor pelawatnya susulan kritikan itu menyebabkannya terpaksa menanggung kos penerbangan dan hotelnya sendiri.

Sementara itu AMK melalui kenyataan tersebut menegaskan, dalam menghormati universiti sebagai ruang wacana awam, ia sewajarnya  terhad kepada perkara yang boleh diwacanakan.

"Soal genosid dan pembersihan etnik di Palestin bukanlah satu wacana tetapi hal yang jelas nyata merupakan kekejaman rejim Zionis Israel," tegas mereka sambil menyatakan pendirian kekal menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Post a Comment

0 Comments