Amirudin sahkan proses saman terhadap pempengaruh PN sudah dimulakan

MENTERI BESAR SELANGOR , Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan proses saman ke atas Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard sedang berjalan.

Amirudin berkata tuduhan dilemparkan pempengaruh pro Perikatan Nasional (PN) itu  kononnya beliau meluluskan tanah di Dengkil kepada syarikatnya sendiri dilakukan sebagai satu strategik bagi mengalih pandangan rakyat.

"Beberapa fakta yang diberikan juga salah dan tersasar, bertujuan menarik perhatian ramai bagi membina satu persepsi buruk terhadap saya.

"Proses saman atau pengurusan sudah diadakan antara Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd dan Chegu Bard sejak dua minggu lalu," katanya.

Amirudin berkata begitu kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Kenderaan Mikromobiliti E-Scooter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 20 April lalu, Chegu Bard membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendakwa Menteri Besar Selangor itu meluluskan tanah di Dengkil kepada syarikat sendiri.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi hantaran di Facebook berkaitan laporan polis itu kononnya disokong dengan dokumen, di mana kerajaan negeri Selangor memberikan 40 hektar tanah di Dengkil kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd.

Terdahulu Amirudin menyerahkan empat unit kenderaan mikromobiliti e-skuter kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Selangor bernilai lebih RM55,000 hari ini.
 
Skuter elektrik sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu akan digunakan anggota keselamatan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sekali gus mempertingkat kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

Post a Comment

0 Comments