Akta Wilayah Laut terpakai untuk semua negeri - PMO

AKTA LAUT WILAYAH 2012 (Akta 750) masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia, termasuk Terengganu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, akta yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai itu hanya terbatal jika ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

"Ingin ditegaskan, adalah menjadi pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun DUN Terengganu telah membuat keputusan menolak pemakaiannya, namun ia masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di negeri Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah," katanya.

Kenyataan itu menyusul keputusan sidang DUN Terengganu yang menolak Akta itu kerana ia mengehadkan hak negeri meneroka sumber dan hasil melalui sempadan maritim yang ditetapkan akta tersebut.

Sementara itu PMO menegaskan, tujuan Akta 750 digubal bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia, memelihara keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan negara serta menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah.

“Penggubalan Akta 750 juga bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).

“Selaras nilai Malaysia Madani, sekali lagi dinyatakan di sini kerajaan persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri, termasuk Terengganu.” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments