AHLI JAWATANKUASA Pimpinan Amanah Negara (Amanah) Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyifatkan rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peka kepada keperluan semasa.
Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksana rombakan Kabinet diterima baik Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Negara (Amanah) Nasional.
Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu program di Paser Putih pada Rabu berkata, ia telah membuktikan Ahli Parlimen Tambun itu terbuka dalam menerima teguran dan pandangan pelbagai pihak terutama dalam keperluan semasa.
"Apa yang dilakukan oleh beliau (Anwar) perlu dihormati.
"Jadi saya harap semua yang diberi tanggungjawab itu mampu menggalasnya dengan sebaik mungkin," katanya yang turut beranggapan rombakan di beberapa kementerian jelas memperlihatkan kesungguhan Anwar yang mahu sebuah kerajaan lebih mantap dalam mentadbir negara.
Pada Selasa, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet di Bangunan Perdana Putra.
Anwar mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Antara yang menarik perhatian adalah pelantikan tokoh korporat, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam barisan jemaah menterinya.