KERAJAAN PERPADUAN memperuntukkan RM35.8 juta bagi menghadapi banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Daripada
jumlah itu, sebanyak RM13.7 juta membabitkan peruntukan Persekutuan dan
selebihnya untuk negeri, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.
"Pada masa sama,
sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) untuk pembelian makanan teknologi retort bagi kegunaan mangsa
banjir dalam tempoh 24 jam pertama pembukaan pusat pemindahan sementara
(PPS).
"5,167 pegawai dan kakitangan sedia digerakkan pada
bila-bila masa dengan dibantu 157 kaunselor dan 864 pasukan sokongan
psikologi (PST)," katanya.
Nancy berkata begitu pada sidang
media selepas lawatan ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Taman
Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan pada Isnin.
Beliau sementara
itu memaklumkan ketika ini JKM mempunyai kekuatan lapan depoh, 137 stor
negeri/daerah, 60 mini depoh kontena dan 580 pangkalan hadapan yang
menempatkan keperluan asas mangsa bencana.
Kementerian juga
jelasnya mempunyai kemampuan menyediakan 8,481 PPS di seluruh Malaysia
yang mampu menampung 2.15 juta penduduk pada satu-satu masa.
"Selain itu, seramai 8,543 sukarelawan JKM turut sedia digerakkan ke PPS bagi melancarkan operasi membantu mangsa.
"Operasi
akan dilaksana dengan kerjasama rakan strategik daripada agensi
kerajaan dan swasta termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),
Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan
Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Yayasan
Petronas, Yayasan Sime Darby dan Gardenia," tambahnya.
0 Comments