MB Selangor sertai hadirin dalam program Panggilan Intifada

MENTERI BESAR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir menyertai 500 orang ramai di program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin malam tadi.

Program sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin itu berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam dan turut disertai beberapa artis antaranya Ella, Hijjaz dan Kaka Azraf.

Turut hadir ke acara itu adalah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Pada ucapan di program itu  Amirudin berkata, ia merupakan sebahagian daripada acara ambang tahun baharu 2024 yang kemuncaknya disambut esok menerusi program Darul Ehsan Berselawat 3.0.
 
“Ini sebahagian kaedah kita menaikkan semangat menjelang tahun baharu sesuai dengan keadaan semasa terutama yang menimpa sahabat saudara mara kita di Palestin.

“Hari ini mereka bukan hanya berdepan krisis kesusahan dan kepayahan tetapi kematian yang mungkin datang tiba-tiba.

“Semangat dan kecekalan mereka mempertahankan kedaulatan Palestin patut dicontohi dan dijadikan pedoman serta pengajaran,” katanya.

Dipetik laporan Selangorkini, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) turut menyatakan harapan agar penindasan Israel ke atas penduduk Gaza segera berakhir sekali gus membebaskan Palestin setelah sekian lama dijajah rejim Zionis.

“Pada awalnya ramai merasakan bumi Gaza akan lenyap, tetapi sampai hari ini penduduk berterusan mempertahan kedaulatan negara.

“Hari ini mereka buka mata seluruh dunia, bukan hanya umat Islam bersolidariti dengan mereka,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments