SETIAUSAHA AGUNG Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun memuji komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersungguh mahu mewujudkan perpaduan di negara ini.
Ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krimas Parti Bersatu Sabah (PBS)-Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Kota Kinabalu pada Isnin, Masidi berkata kehadiran pihaknya dalam gabungan kerajaan benar-benar telah dihargai.
Jesteru katanya, pendirian GRS adalah sama seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bahawa pendirian gabungan itu jelas menyokong kepemimpinan Anwar untuk terus menerajui kepimpinan negara sehingga sekurang-kurangnya habis penggal.
“Di bawah Kerajaan Perpaduan setiap ahli hendaklah dilihat sebagai penting,kita rasa dihargai dalam sebuah kerajaan yang dibentuk, .”
“Sebagai tanda terima kasih kita atas pengiktirafan itu, kita telah menyatakan dari awal bahawa kita menyokong penuh kepemimpinan beliau untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga penggal ini selesai,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Malaysia antara negara yang baik jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain namun, kestabilan negara ini dijejaskan dengan isu perpaduan yang menyentuh tentang hubungan kaum dan agama.
GRS tegasnya ingin memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi kerana kehidupan rakyat cukup terjejas dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.
“Jadi saya mintalah supaya kita lupakan sementara segala perbezaan remeh temeh politik ini dan tumpu kepada menyatupadukan semua usaha serta fokus kita untuk memulihkan ekonomi.
“Apabila bercakap pasal perpaduan dan hubungan suku kaum, barangkali mereka di seberang sana (semenanjung) boleh melihat bagaimana kita di Sabah boleh wujudkan silaturrahim dan hubungan yang baik walaupun dalam politik masih ada perbezaan,” katanya.
0 Comments