DATUK SERI Anwar Ibrahim memberi amaran keras terhadap pihak yang mengambil kesempatan menyorok bekalan beras sehingga menyukarkan orang ramai.
Bercakap pada satu program di Simpang Pelangai pada Isnin, beliau memaklumkan telah mengarahkan badan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melakukan perkara itu.
Kerajaan tegasnya tidak teragak untuk mengheret pihak terlibat ke muka pengadilan di saat rakyat kini berhadapan kesusahan mencari beras untuk keperluan hidup.
“Saya beritahu Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) arahan jelas kepada badan penguat kuasa kalau ada berani buat perangai buruk dalam orang susah cari beras, sorok, kamu jaga, kami cari kamu dan saman dan bawa ke mahkamah.
“Tengah orang susah, ketika itu kamu hendak cari untung,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda, Anwar berkata kerajaan menyalurkan subsidi hampir RM400 juta agar semua premis kerajaan termasuk hospital menggunakan Beras Putih Import (BPI) sebagai satu usaha untuk meningkatkan kembali bekalanBeras Putih Tempatan (BPT) di pasaran.
Perdana Menteri berkata, menerusi langkah tersebut semua premis kerajaan seperti kem tentera, hospital dan polis menggunakan beras import berbanding sebelum ini beras tempatan.
Selain itu menurut Anwar, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Fama dikerahkan untuk membantu pengedaran beras serta-merta jika berlaku kelembapan penghantaran kerana simpanan stok mencukupi.
0 Comments