Akta Insolvensi 1967: Pindaan baharu kuatkuasa hari ini

PINDAAN baharu Akta Insolvensi 1967 mula berkuatkuasa hari ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) .

Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan akta ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Perkara ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada (golongan) bankrap untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.” jelasnya.

Pindaan adalah hasil cadangan dikemukakan pada Mac lalu melalui sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan, termasuk Kementerian kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara.

Pindaan itu termasuk peruntukan berkait pelepasan bankrap. Seksyen 33C dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh individu bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwal mereka.

Senarai individu bankrap yang layak dilepaskan tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang juga dipinda untuk memasukkan dua kategori baharu, iaitu individu berusia 70 tahun ke atas, dan mereka yang diiktiraf sakit mental bawah Akta Kesihatan Mental 2001.

Akta itu turut membuat semakan nilai terhadap dua perkara berikut – had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang, dan had nilai bagi kes yang layak untuk pentadbiran ringkas.

Selanjutnya, kewajipan ketua pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan.

“Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas akta ini berkuat kuasa.

“Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi,” katanya yang berharap peluang diberikan dapat membangtu individu dilepaskan dari bankrap untuk menambah baik status kewangan mereka.

Post a Comment

0 Comments