Mahkamah keluar waran tangkap terhadap pemimpin Pemuda Bersatu

MAHKAMAH Pilihan Raya Melaka pada Jumaat mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir .

Waran dikeluarkan Hakim Abu Bakar Katar selepas Akmal yang sepatutnya memberi keterangan dalam petisyen mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Masjid Tanah gagal hadir sebagai saksi semasa perbicaraan.

Mahkamah yang sama turut mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas setiausaha sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Noor Hashimah Noordin juga kerana gagal hadir sebagai saksi.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid mencabar kemenangan Ermieyati pada PRU15 atas wujudnya unsur sogokan semasa kempen pilihan raya.

Ermieyati, yang juga ketua Bersatu Masjid Tanah, menang kerusi itu dengan majoriti 4,411 undi.

Semasa perbicaraan, video Akmal Zahin memberikan sampul yang dipercayai mengandungi wang kepada pengundi dalam Parlimen Masjid Tanah telah dikemukakan ke mahkamah.

Mahkamah Pilihan Raya menetapkan Isnin ini untuk kedua-dua saksi tersebut menghadiri prosiding itu.