Ketamadunan dibentuk pemimpin hati bersih, bukan ekonomi semata-mata

KETAMADUNAN sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kerangka ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi semata-mata, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menegaskan bahawa  ketamadunan adalah dibina dan terbentuk dari hasil pimpinan pemimpin yang mempunyai hati nurani yang bersih
 
Anwar berkata, tanpa ciri itu pada pemimpin, sesebuah tamadun akan runtuh sekiranya soal nilai dan akhlak tidak diberi tumpuan dalam agenda pembangunan tamadun.

"Dalam dunia moden dan teknologi maju, kena ada nilai dan akhlak. Tamadun yang runtuh bukan sebab ekonomi atau sosial, tetapi kerana tiada nilai dan akhlak, sebab itu tatakelola rosak.

"Apabila tatakelola lemah, negara akan jatuh,” kata Anwar pada program ilmu MADANI bersama kira-kira 300 pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama di Seri Perdana yang turut sama menyelitkan sesi dialog.

Majlis ilmu secara berkala di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya itu mula diperkenal Anwar pada 22 Dis 2022 . Ia diisi denganc tausiyah yang disampaikan ulama terkenal dari dalam dan luar negara serta solat secara berjemaah.

Antara ulama yang pernah menyampaikan ceramah di majlis berkenaan ialah Imam Besar Masjid Al-Aqsa Syeikh Dr Ekrima Sabri, ulama dari United Kingdom Syeikh Ahmed Mohamed Saad Al-Maliki Al-Azhari Al-Hasani dan ulama dari Gambia Syeikh Muhammad Haydara Al-Jilani.

Pada program malam tadi, hadirin bersolat maghrib berjemaah dengan diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Zulkeffly Adimun disusuli dengan bacaan doa dan tausiyah (nasihat) yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah dan kemudiannya mereka menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Sementara itu dalam amanatnya juga, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sejak memimpin  #kerajaan pada November lepas, agenda untuk mengangkat martabat Malaysia di mata dunia menjadi fokus utamanya.

Usaha itu jelasnya banyak dibantu barisan Menteri Kabinet yang mewakili pelbagai kaum dan agama.

"Saya pegang jawatan ini, Alhamdulillah.. Saya tak perlu wang berjuta-juta untuk beli harta.

"Saya nak buktikan sesungguhnya di Malaysia ini ada Melayu Islam yang berpegang dengan fahaman Islam dan boleh angkat martabat negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments