MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi tempoh 24 jam kepada dua individu yang melontarkan fitnah supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan dua individu tersebut yang cuba menjatuhkan reputasi Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat itu dengan mendakwanya menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang baru-baru ini
Menurut Fahmi, notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook 'N13 Kuang' petang Rabu.
Fahmi berkata notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.
"Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.
"Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil, tidak bersalah," katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis malam tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad lepas.
Sementara itu jelas Fahmi, antara lain tujuan notis tersebut adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung.
0 Comments