Saifuddin pertahan kenyataan terhadap Sanusi

 


DATUK SERI Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan kenyataannya terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik dan dana pembiayaan Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) yang didakwa disalahgunakan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN menyatakan pendirian itu dalam suratnya melalui firma guaman Nav & Co bertarikh 26 Julai kepada tuntutan Sanusi yang juga Menteri Besar sementara Kedah.

Pasukan peguam Saifuddin menegaskan bahawa apa yang didedahkannya melalui siri ceramah 15 Julai lalu bukan bersifat memfitnah.

“Anak guam kami menafikan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah atau mampu membawa sebarang implikasi fitnah.

“Anak guam kami tidak berniat untuk membicarakan perkara ini melalui surat-menyurat.

"Kami mempunyai arahan untuk menerima perkhidmatan proses undang-undang," kata peguam Saifuddin.

Saifuddin sebelum ini mendakwa dia tidak mendedahkan kecurian REE dan dana Marris untuk memburukkan imej Sanusi sebaliknya menunjukkan wujud isu penyelewengan pentadbiran dalam kerajaan negeri.

Sanusi sebelum itu mengumumkan hasratnya untuk menyaman Saifuddin berhubung dua isu berkenaan pada 16 Julai lalu.

Pada 21 Julai, dia dilaporkan berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Saifuddin berhubung dakwaan kecurian REE dan isu pembiayaan RM1.6 bilion Marris.


Post a Comment

0 Comments