PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru kepada pengundi di Kelantan supaya berhenti memberi peluang kepada PAS di negeri itu.
Jelasnya pentadbiran PAS di Kelantan dianggap gagal apabila menjadi negeri yang berada di kedudukan pertama dari segi kemiskinan dan masalah sosial sedangkan pemimpin yang memerintah negeri itu bercakap soal agama.
"Orang Kelantan adalah yang paling hebat namun terpaksa tunjukkan kehebatan mereka di tempat lain.
"Sebab itu kita minta pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, pengundi di Kelantan bangkit dengan menuntut sesuatu yang baru selepas 33 tahun.
"Sebagai sebuah negeri, Kelantan tidak sepatutnya mencatatkan nombor satu dari segi kemiskinan dan masalah sosial apatah lagi parti yang memerintah itu bercakap soal agama. Ini sangat bertentangan," kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi turut mengakui dulu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berbeza pandangan, namun disebabkan keadaan yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kedua-dua gabungan parti itu meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan menjadikan mereka bersatu.
"Ia berbeza dengan dengan apa yang kita lihat hari ini apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput berucap di Kelantan sedangkan rakyat negeri itu tahu sejauh mana tindakan Dr Mahathir sebelum ini.
"Orang Kelantan tahu ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau mengambil sikap tidak ada masalah dan perkara ini tidak akan berlaku pada zaman Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kerajaan PAS hari ini berbeza dan kita berharap pengundi yang berada di Kelantan dan luar Kelantan dapat membuat perubahan besar pada 12 Ogos depan," tambahnya.
0 Comments