PENAHANAN dan pendakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, penahanan Sanusi dibuat selepas mengambil kira beberapa fakta untuk beliau menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.
"Isu Sanusi belum selesai, pada hemat saya secara peribadi, Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan ke atas beliau bukan soal pilihan raya, bukan soal titah Tuanku.
"Tetapi kita dapati beberapa fakta yang difikirkan oleh Jabatan Peguam Negara ada kes yang kuat untuk membawa beliau ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan," katanya.
Ahmad Zahid mengulas pendakwaan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dibawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ia susulan pertuduhan membuat hasutan terhadap institusi diraja berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.
Sementara itu Zahid berkata, mahkamah adalah platform terbaik untuk Sanusi menjawab tuduhan serta mempertahankan dirinya.
"Saya pun pernah dibawa ke mahkamah... setiap pertuduhan itu kalau dibuat pengakuan secara terus maka hakim akan membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman.
"Beliau mempunyai kaedah yang sama... tetapi soalnya sekarang ini kalau kita membaca titah Tuanku melalui kenyataan yang dikeluarkan, bahawa isu Sanusi belum selesai.
"Mungkin itu sebabnya pihak Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap beliau," katanya.
0 Comments