TIMBALAN PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mendedahkan peralihan luar biasa pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN) yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sudah semakin mereda.
Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, data didedahkan setakat Jun lalu menunjukkan sokongan terhadap PN semakin menurun pada kadar yang ketara.
Menurutnya, PN sepatutnya perlu lebih bimbang apabila persaingan sengit mungkin bakal berlaku di dua negeri dikuasai mereka iaitu Kedah dan Kelantan.
"Menerusi data awal, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan selesa.
"Malah, tumpuan kami kini ialah bagaimana untuk menggugat prestasi PN di tiga negeri yang dikuasai mereka.
"Dakwaan dibuat PN ketika ini lebih untuk menutup kebimbangan prestasi mereka di negeri yang mereka kuasai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Putrajaya, pada Selasa.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau akan mendedahkan data lengkap bulan ini mengenai trend pengundian dan prestasi PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
"Sampai masa saya tunjuk data itu secara terperinci bulan ini, semakin dekat dengan kempen, kita akan dedahkan data itu," katanya.
Pada masa sama, katanya, PN juga tiada kredibiliti untuk mengambil alih tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
![]() |
Persaingan di Kedah dan Kelantan dijangka sengit |
Terdahulu, Rafizi memaklumkan beliau akan mendedahkan data terperinci bagi membuktikan bahawa PH lebih mendapat sokongan berbanding PN menjelang PRN nanti.
-AA