BN tanding 45% kerusi, PH 55% pada PRN - Pengerusi BN




BARISAN NASIONAL (BN) dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat, berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

"Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH. Sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH.

"Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan," katanya memetik laporan Bernama.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN akan bertanding lebih 100 kerusi DUN dan keputusan akhir akan dibuat olehnya bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Saya dan Perdana Menteri akan berbincang buat kali terakhir pada minggu hadapan bagi seluruh enam negeri termasuk kawasan bertindih juga kita telah dapat selesaikan.

"InsyaAllah lepas ni kita akan selesaikan pula tentang calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH. Biro politik telah ambil keputusan, setiap DUN, pihak perhubungan negeri akan kemuka sekurang-kurangnya tiga calon," katanya.

Ahmad Zahid berkata setiap calon bukan sahaja akan melalui saringan daripada aspek boleh menang, malah penelitian akan turut dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

PH dan BN kerjasama sebagai satu pasukan
"Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon," katanya.

PRN yang dijangka Ogos depan akan membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Post a Comment

0 Comments