Amirudin gesa Sanusi cermin diri sendiri

 


MENTERI BESAR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menempelak Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan berkata beliau akan 'mengajar' Menteri Besar Kedah itu bagaimana menjadikan Kedah negeri terbaik seperti Selangor.

Amirudin berkata, Pengarah Pilihan Raya Pas itu sepatutnya melihat masalah di tempatnya terlebih dahulu berbanding kawasan lain.

"Ini masalah Sanusi, mata dia besar dekat tempat lain tapi tak tengok masalah tempat dia. Jangan takut minggu depan saya akan pergi Kedah.

"Saya akan ajar... terangkan pada Sanusi macam mana nak jadi yang terbaik macam Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Madani Afiat, Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan di Batu Caves Gombak, Selangor.

Beliau mengulas dakwaan Sanusi, yang mengatakan Selangor maju dan kaya hanya kerana kebetulan ia terletak berdekatan dengan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor turut menyindir Sanusi dan menyifatkannya tidak 'melihat cermin'.

Beliau turut memberi contoh bahawa jiran Kedah iaitu Pulau Pinang berkembang dengan pesat dari segi pelaburan dan kedudukan ekonominya.

Kedah bawah pentadbiran Sanusi lemah
Bagaimanapun katanya, Kedah masih lagi menyumbang hanya sekitar bawah lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dalam masa yang sama, Kuala Lumpur itu sebahagian daripada Selangor sebelum ini.

"Ia mendapat limpahan kerana kedudukan kita yang strategik dan kita berjaya menyediakan sebagai bandar satelit pada tahun 1970-an lagi," katanya.



Post a Comment

0 Comments