KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) negeri Selangor direncana akan bertemu pada Rabu bagi memuktamadkan kedudukan baki tiga kerusi DUN yang bakal ditandingi pada PRN akan datang.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, berdasarkan kesepakatan yang dicapai antara dua gabungan itu berhubung rundingan 53 kerusi lain sebelum ini, beliau yakin rundingan tiga kerusi itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Rabu ini, kita akan adakan perbincangan pada peringkat rasmi (dua-dua gabungan). Kita mula (dengan) 56 kerusi dan kini tinggal tiga kerusi (belum muktamad), maknanya sangat bagus kemajuan (rundingan) dalam tempoh hanya dua bulan.
“Sebab itu saya yakin dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya Pengerusi KEADILAN negeri Selangor itu pada sidang media Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani 2023 Selangor di Shah Alam pada Ahad.
Difahamkan, tiga kerusi yang masih belum diputuskan membabitkan kerusi DUN Dengkil, Meru dan Kuang.
Menurut sumber Umno, parti itu menuntut kerusi Dengkil dan Kuang yang dimenangi Bersatu pada PRU14, namun KEADILAN juga mahukan kerusi sama.
Sementara itu, Umno turut menuntu kerusi DUN Meru yang disandang KEADILAN kerana parti itu merasakan bahawa kerusi itu boleh dimenanginya, mengambil kira undi pada PRU15, yang memihak kepada BN.
Ketika ditanya mengenai laporan itu, Amirudin enggan mengulas lanjut.
“Perkara dibincangkan dalam jawatankuasa (rundingan) tak boleh dibawa keluar lagi,” tegasnya.
![]() |
Rundingan kerusi telah 95 peratus selesai |
Beliau menjangkakan akan menghadap baginda Sultan sebelum 20 Jun ini iaitu sebelum Sultan Sharafuddin dijangka berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat haji.
0 Comments