KERAJAAN akan merangka tiga dasar negara yang lebih kental dan ampuh iaitu Pelan Perindustrian Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia dan Belanjawan Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu dalam perutusan sembah tahniah dan selamat pada Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.
Tambahnya, Pelan Perindustrian Negara akan dilancarkan pada Ogos ini manakala Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada Oktober.
“Arakian yang dituntut adalah merangka dasar negara yang lebih kental dan ampuh. Insya-Allah, Pelan Perindustrian Negara akan diluncurkan pada bulan Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada bulan Oktober, kesemuanya tatkala Tuanku masih bersemayam di atas singgahsana negara.
“Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tata kelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Pada ucapan sembah tahniah itu juga Anwar menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan.
Perdana Menteri menambah, Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Seri Paduka telah berjaya mempertautkan kesatuan permuafakatan dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara.
“Lantas memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” katanya.
Selain usaha pemulihan ekonomi, Kerajaan juga jelasnya sedang menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.
"Ekonomi negara telah melonjak pertumbuhan ke 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023 atas usaha dan kebijakan ekonomi yang direncanakan oleh Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta.
“Beberapa pendekatan seperti Konsep Payung Rahmah, Karnival Jualan Aidilfitri, keusahawanan, inovasi sosial seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat adalah merupakan sebahagian ikhtiar untuk membantu rakyat telah mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.
![]() |
Kerajaan beriltizam pacu pertumbuhan |
Anwar justeru itu berbekalkan tekad dan semangat ‘Membangun Malaysia Madani’, Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan dan mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi.
0 Comments