MENTERI Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil menyangkal laporan yang mendakwa beliau mengancam mengambil tindakan terhadap penonton siaran langsungnya di TikTok kerana membuat komen mengkritik dirinya dan kerajaan.
Sebaliknya menurut Fahmi, pada sesi tersebut beliau hanya mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
“Berkenaan 3R, saya hanya mengulangi apa yang pernah saya sebut.
“Sama dengan apa (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution Ismail katakan sebelum ini. Saya ingatkan agar orang ramai tidak buat komen-komen 3R yang bersifat menghasut.
“Apabila saya buat ‘live’ Tiktok dalam acara, selalu komen yang ditinggalkan (penonton) sentuh 3R. Saya dah selalu cakap, pengguna media sosial tidak patut perguna 3R untuk tujuan politik,” katanya dipetik.
Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan selepas dua jam sesi siaran langsungnya berjalan di TikTok, menteri itu menegur penonton kerana mengejeknya dan mempersoalkan dasar kerajaan.
Membetulkan laporan itu, Fahmi berkata, beliau memerhatikan ramai pengguna media sosial mengeluarkan kata-kata menghina setiap kali beliau bersiaran secara langsung di TikTok.
“Saya tidak bertindak melebihi kuasa atau undang-undang yang ada, apatah lagi melampaui batas,” katanya.
“Saya menjalankan tugas yang diamanahkan; jika undang-undang tegas dan keras, maka tegas dan keraslah saya.” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
![]() |
Fahmi sangkal laporan oleh MalaysiaNow |
Katanya, banyak perkara bawah dua akta itu perlu dikemas kini seiring perkembangan teknologi semasa.