Dakwaan 10 bekas 'warlord' UMNO masuk PN hanya propaganda - Mahdzir Khalid


DAKWAAN
10 bekas 'warlord' atau 'panglima perang' UMNO akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum pilihan raya negeri (PRN) dianggap sebagai satu propaganda pembangkang.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persepsi yang dicetuskan pembangkang itu hanya bertujuan untuk meraih sokongan rakyat terutamanya pengundi muda menjelang PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Mahdzir dalam sidang media di Alor Setar pada Selasa menambah, walaupun pembangkang mencanangkan isu itu, tidak ada kelibat 'warlord' parti tersebut di Kedah yang menyertai PN setakat ini.

"Setakat ini tidak nampak, tidak ada di Kedah. Saya fikir mana-mana organisasi parti politik akan ada musim di mana ada yang keluar dari parti atau dikenakan tindakan dan mereka bawa diri. Bukan sahaja UMNO pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke UMNO pun ada terjadi.

"Contohnya, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO.

"Jadi, tidak perlu guna persepsi untuk pilihan raya kerana pada akhirnya rakyat akan pilih sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) atau PN," katanya.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, PN akan mengumumkan senarai nama 10 'panglima perang' atau 'warlord' UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Setakat ini hanya bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa, memilih menyertai Pas bagi meneruskan karier politiknya selepas dipecat UMNO.

Mahdzir lihat dakwaan PN hanya propaganda
Bekas pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar walaupun dilihat hadir ke beberapa program PN, setakat ini dilihat belum bersedia menyertai mana-mana parti dalam gabungan Khairy Jamaluddin, masih berteka-teki mengenai masa depan politiknya  itu.

Sementara bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, masih berteka-teki mengenai masa depan politiknya. Dia sebelum ini berkata berkemungkinan tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada, sebaliknya menubuhkan sebuah parti politik baharu.