ORANG ramai digesa mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas berhubung isu kalimah Allah kerana ia melibatkan isu teknikal perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata langkah itu perlu bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama di negara ini.
"Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu ini.
"Ini kerana ia berkaitan isu teknikal perundangan dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama," katanya.
Terdahulu, KDN dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penarikan balik itu susulan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah Allah.
Ulasnya, kementeriannya telah memperhalusi dan meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 dan mendapati berlaku percanggahan arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan berpihak kepada wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan
Justeru, KDN katanya sedang mengkaji dan mengemas kini satu arahan pentadbiran 'lebih menyeluruh' bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan.
![]() |
Orang ramai digesa bertenang dan berhati-hati |
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melindungi dan memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah suci dalam agama Islam,” katanya.
0 Comments