KERAJAAN Persekutuan telah menambah baik sistem pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri untuk tahun 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan pada Selasa berkata, antara penambahbaikan yang dijalankan antaranya dengan meningkatkan pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.
Keputusan tersebut jelasnya telah diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikannya dan dihadiri oleh semua menteri besar dan ketua menteri atau wakil dari setiap negeri.
"Keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan mesyuarat turut bersetuju dengan kenaikan peruntukan pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) dari RM70 juta kepada RM150 juta. Ia sebagai galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.
Untuk penambahbaikan ke atas pinjaman kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri pula, Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja melibatkan pinjaman baharu bagi projek-projek pembangunan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia.
"Pendekatan ini dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan serta akan melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan," jelas Anwar.
Kerajaan Persekutuan turut telah bersetuju agar pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 melibatkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
Langkah itu untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta selain sebagai langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh.
Kerajaan Persekutuan juga akan menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain termasuk penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.
![]() |
Beri peluang negeri laksana pembangunan sendiri |
"Langkah ini bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas,” jelas beliau.
Selain penyelenggaraan Jalan Negeri, Kementerian Kewangan turut menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala turapan (pavement) Jalan Persekutuan.
"Ini terutamanya untuk menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan. Peruntukan tambahan ini juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil Bumiputera,” kata Anwar dalam kenyataan tersebut.
0 Comments