Bidang kesusasteraan diperkasa, PM lulus peruntukan tambahan


PERDANA MENTERI 
Datuk Seri Anwar meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi memperkasakan bidang kesusasteraan negara

Jumlah itu yang meliputi RM3 juta bagi pengurusan Yayasan Karyawan, dan RM2 juta bagi usaha mempopularkan karya sasterawan negara sebagai tanda pengiktirafan kepada barisan sasterawan negara.

Ketika berucap pada majlis pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin (Empat jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Kuala Lumpur pada Isnin, Anwar berkata ia juga bagi bagi membolehkan sehingga 60 judul baharu diterbitkan serta dikembangkan menjadi karya agung yang boleh diteladani.

“Kita tidak mahu hasil karya hanya berlegar dalam kalangan elit yang memenuhi rak buku di perpustakaan peribadi mereka. Selain daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Yayasan Karyawan itu khusus tugasnya untuk meningkatkan usaha memperkenalkan kepada khalayak karya besar Melayu.

“Saya akan memberikan apa sahaja sokongan yang perlu kerana bagi saya ini adalah berkenaan survival bangsa,” katanya pada majlis itu.

Selain perutukan RM5 juta itu, kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2023 pada Febuari lalu memperuntukkan RM20 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Yayasan Karyawan untuk tujuan terjemahan dan penerbitan karya dan ilmu sastera.

Ketika mengumumkan peruntukan tambahan itu semalam, Anwar berkata kekuatan ekonomi semata-mata tidak akan menjamin kekuatan sesebuah bangsa, negara atau tamadun.

Justeru, ia memerlukan daya usaha untuk memperkasakan budaya dan bahasa di samping menggali semula khazanah bangsa.

PM martabatkan kesusasteraan Melayu
“Bagi saya ia adalah satu tugas besar. Bagi membangkitkan, membangun, dan memperkasa bangsa itu harus berteraskan kekuatan bahasa budaya dan dengan memunggah semula, menggali dan menghebahklan khazanah bangsa kita sendiri.

“Kekuatan ekonomi itu tidak akan menjamin kekuatan bangsa, negara dan tamadun tanpa usaha memperkasakan bahasa, budaya dan menggali khazanah, ” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments