Jalan Batang Kali - Genting siap sepenuhnya pertengahan 2024


KERAJAAN
Negeri Selangor menjangkakan kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di laluan Batang Kali-Genting Highlands yang terjejas ekoran kejadian tanah runtuh Dec lalu dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dalam satu sidang media di Shah Alam semalam berkata, peruntukan lebih RM20 juta sudah diluluskan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menurutnya sedang melaksana kerja-kerja pembaikan jalan berkenaan.
 
"Kita kena siapkan dulu tembok atau dinding penahan dan teknologi diguna pakai adalah sesuai dengan kawasan itu yang sempit selain ia bertahan lebih baik.

"Kontraktor sudah kita lantik untuk melaksanakan kerja-kerja (cerun) itu termasuk jalan. Perlukan masa 10 bulan dan dijangka pertengahan tahun depan sudah boleh digunakan jalan itu," katanya.

Laluan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands sebelum ini ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa itu.

Orang ramai digesa guna laluan alternatif
Susulan gesaan ramai, laluan itu dibuka semula secara terhad mulai 6 Januari lalu kepada kenderaan yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).

Bagi mengurangkan kesesakan dan risiko, Izham menggesa menggesa pengguna terus menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan pihak berkuasa sehingga laluan itu dibuka kembali sepenuhnya kelak.

Post a Comment

0 Comments