![]() |
KERAJAAN PERSEKUTUAN bersetuju dengan permohonan Kerajaan Sarawak bagi penubuhan syarikat penerbangan sendiri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu yang dilihat mampu menangani masalah harga tiket penerbangan Semenanjung-Borneo yang terlalu mahal akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
"Saya menerima cadangan penubuhan syarikat penerbangan butik itu bagi membantu menangani kos penerbangan (antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak) yang terlalu tinggi.
"Kerajaan Sarawak mendepani banyak hal seperti kenderaan elektrik, hidrogen serta gas, dan dengan prestasi ditunjukkan, kita bersetuju dengan permohonan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik," kata Perdana Menteri itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Raia Hotel and Convention Centre Kuching serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim, di Kuching pada Isnin.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata dengan pengurusan pentadbiran Kerajaan Sarawak yang baik, beliau yakin Kerajaan Sarawak mampu menguruskan syarikat penerbangan butik yang dirancang berkenaan.
"Menguruskan syarikat penerbangan bukannya mudah dan memerlukan pengalaman tetapi melihat prestasi Kerajaan Sarawak, saya setuju kerana yakin mereka boleh melakukannya," katanya dipetik.
![]() |
Langkah tersebut boleh stabilkan harga tiket |
Hasrat Kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik itu jelasnya bukan untuk bersaing dengan syarikat penerbangan sedia ada, namun bagi menstabilkan harga tiket.
0 Comments