PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor bersetuju dengan pendirian Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa perjanjian penyelesian kerajaan dengan Goldman Sachs perlu dikaji semula.
Dipetik laporan Utusan Malaysia, Anwar berkata beliau bersetuju dengan pendirian itu kerana menyifatkan kerajaan berhak memperoleh wang pampasan yang jauh lebih besar.
"Saya bersetuju (dirungkai semula), kerana dari awal saya anggap perjanjian ini dibuat secara gopoh gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan, kerana kita harus diberi banyak.
"Umpamanya dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), dengan mereka dahulu nak selesai dengan jumlah yang kecil, bila kita bertegas, kita dapat AS$1.8 bilion, itu besar,” katanya pada satu majlis di Kuala Lumpur semalam.
Pada 2020, Kementerian Kewangan mengumumkan Goldman Sachs bersetuju membayar USD3.9 bilion bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan tiga urus niaga bon yang disusun dan diatur oleh Goldman Sachs untuk 1MDB.
Penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai USD2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya USD1.4 bilion dari segi aset berkaitan dengan hasil yang diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.
Jumlah penyelesaian itu merupakan satu peningkatan ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak USD1.75 bilion dibuat Goldman Sachs pada 2019.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengetuai pasukan itu pada 27 Feb lalu menggesa kerajaan menyiasat peranan mereka yang terlibat dalam penyelesaian antara Putrajaya dengan Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, dan berkata Malaysia mungkin ditipu mengenai perkara itu.
![]() |
Kerajaan akan pastikan isu 1MDB selesai |
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus berpendirian tegas bagi memastikan isu 1MDB dapat diselesaikan segera.
“Orang kadangkala pandang ringan atau remeh dalam soal ketelusan dan ketegasan tapi sebenarnya ini menyelamatkan wang rakyat,” katanya.
0 Comments