Sultan Selangor zahir sukacita dengan prestasi Kerajaan Negeri

 


SULTAN SELANGOR Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan rasa sukacita atas pencapaian negeri itu merekodkan hasil tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Dalam titahnya sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Undangan Negeri semalam Seri Paduka Baginda turut melahirkan rasa bangganya apabila negeri itu terus mencatatkan pencapaian cemerlang dalam sektor ekonomi,

“Beta menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa Kerajaan Beta. Beta dimaklumkan 2022 tahun cemerlang bagi Selangor dan turut menjadi penyumbang terbesar Keluaran Negara Kasar (KDNK) iaitu 24.8 peratus.

“Beta turut berbangga apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat lima peratus mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional iaitu 3.1 peratus,” titah Baginda.

Kutipan negeri Selangor bagi tahun lalu merekodkan angka RM2.533 bilion yang melebihi sasaran awal RM2.05 bilion serta lebih tinggi berbanding angka pada tahun sebelumnya iaitu RM2.284 bilion.

Difahamkan, kejayaan itu disumbang inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi tempoh lima tahun kedepan.
 
RS-1 yang memberikan tumpuan khusus kepada pelaksanaan strategi-strategi berimpak tinggi untuk jangka masa pendek dan sederhana melalui tadbir urus efisien dan berkesan dengan menyediakan ekosistem yang kondusif telah mengukuh Selangor sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi mampan di Malaysia dan rantau Asia

Sementara itu dalam titahnya juga, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang berjaya mengemudi negeri dengan semangat ‘Kita Selangor’.

Baginda turut mengingatkan pentadbiran Kerajaan Negeri supaya sentiasa memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Baginda Sultan puji prestasi pentadbiran negeri
“Beta mengambil maklum prestasi pelaburan dari Januari hingga September 2022 yang merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.7 bilion melibatkan 199 projek perkilangan.

“Daripada jumlah ini, RM3.58 bilion daripada pelaburan tempatan manakala RM6.12 bilion pelabur asing. Sebanyak 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek perkilangan yang diluluskan,” titah Baginda lagi.

Post a Comment

0 Comments