Berhenti hasut rakyat desak pengeluaran KWSP- Muhammad Agus


PEMIMPIN
pembangkang digesa berenti menghasut rakyat supaya mendesak pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff membuat gesaan itu dalam satu hantaran di Facebooknya sambil menegaskan segala keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu adalah berdasarkan kepentingan rakyat.

"Pada 9 Mac 2023, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, Perdana Menteri mengemukakan cadangan membenarkan mereka yang terdesak dan mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mencagarkan caruman mereka di bank.

"Namun cadangan ini dibantah oleh NGO dan ahli politik pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.

"Permainan politik sebegini adalah cukup tidak bertanggungjawab. Bahaya Malaysia bila ada orang politik mengapi-apikan rakyat supaya membenci dan menolak cadangan Datuk Seri Anwar,' katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut bekas Ahli Akademik itu mengingatkan matlamat asal penubuhan skim caruman itu yang mahu mahu memastikan golongan pekerja mempunyai simpanan kewangan untuk hari tua mereka.
 
Memikirkan masa depan rakyat itulah, Perdana Menteri jelasnya telah mencadangkan idea untuk cagarkan KWSP.

"Cadangan Perdana Menteri ini baik dan praktikal. Modal KWSP tidak hilang, dividen KWSP yang bayarkan pinjaman bank. Kalau keluarkan simpanan KWSP bukan sahaja duit tidak ada, dividen pun tidak dapat.

"Sekurang-kurangnya inisiatif membenarkan Simpanan KWSP sebagai cagaran dipersetujui pihak bank, ini adalah satu solusi untuk rakyat," jelasnya.

 Langkah jaga kepentingan pencarum wajar dipuji
Sehubungan itu Mohammad Agus menyarankan pembangkang berhenti memainkan KWSP semata-mata untuk meraih sokongan politik, sebaliknya wajar datang dengan cadangan bernas yang menguntungkan rakyat.

"Memahami Perdana Menteri, beliau adalah terbaik dalam mengajar rakyat berhemah, mengajar rakyat mengurus kewangan keluarga, mengajar rakyatnya berdikari. Pembangkang, hentilah hasut rakyat dan bimbinglah rakyat supaya bijak berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak,"kata Mohammad Agus lagi.

Post a Comment

0 Comments