PM sertai Munajat Perdana, alunkan selawat Nurul Anwar malam ini


PERDANA MENTERI,
Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka mengalunkan selawat Nuril Anwar pada malam Program Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia yang dijadualkan hari ini.

Pengarah program, Azizi Abdul Hamid Al Hafiz dipetik laporan media berkata, ia merupakan kelainan dibawakan dalam program anjuran Pertubuhan Dai Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kali ini.

Mengulas lanjut, Azizi berkata, program yang diadakan bertepatan dengan slogan Malaysia Madani, yang mana Perdana Menteri sendiri menyaran untuk melaksanakan pelbagai program keagamaan demi merealisasikan slogan itu.

“Jadi kita menyambut baik saranan Perdana Menteri ini dan kita adakan di Parlimen Bandar Tun Razak sebagai signifikan kepada isteri beliau, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

“Dalam masa yang sama, penganjuran ini juga tepat iaitu menjelang Ramadan tiba untuk seluruh orang yang hadir mendoakan kesejahteraan Malaysia.

“Kita akan menghimpunkan ulama dan orang ramai untuk bersama-sama memohon keberkatan dan berdoa mengelakkan Malaysia daripada bencana,” katanya.

Program bertemakan Mahabbah Rasullulah Asas Kejayaan Malaysia Madani ini akan berlangsung pada jam 7 petang hingga 11 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Majlis itu turut akan di isi dengan bacaan Al Quran, selawat dan qasidah, tausiyyah dan pelbagai acara lagi oleh ulama terkenal.

Imam Masjid Negeri Shah Alam, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki dan Imam Besar Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Mohd Nizam Termizi Al Hafiz akan memimpin solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

“Dijangka kira-kira 15,000 orang akan memenuhi stadium, namun sebelum kemuncak selawat dan munajat, orang ramai boleh hadir di sini memandangkan terdapat karnival dengan pelbagai jualan dan pameran disediakan seawal jam 10 pagi.

Karnival akan bermula dari jam 10 pagi
“Diingatkan juga untuk orang ramai yang hadir, disarankan untuk membawa sejadah sendiri walaupun kita menyediakan hamparan dan memakai pelitup muka bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Empat individu iaitu Sheikh Razak al-Masri, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki, Ustaz Amirahman Abas dan Mawiakan turut akan bersama Perdana Menteri mengalunkan selawat Nuril Anwar.

Post a Comment

0 Comments